Pages


PILIHAN RAYA KECIL P94 HULU SELANGOR

Kisah Exco Kerajaan Selangor yang amat lemah....

MENGHABISKAN peruntukan satu tahun dalam tempoh enam bulan, memang suatu pencapaian yang luar biasa!


Malangnya, dalam kes Exco Negeri Selangor, Ronnie Liu, ia satu pencapaian yang tidak boleh dibanggakan.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran itu menghabiskan peruntukan tahunan kira-kira RM600,000 – meninggalkan baki hanya RM611.89 untuk tempoh Julai hingga Disember 2009.


Kita tertanya-tanya bagaimana agaknya beliau berfungsi sebagai wakil rakyat di kawasannya dalam tempoh itu?


Apa helahnya melayan permohonan bantuan yang datang sepanjang enam bulan terakhir 2009?


Kita tahu dalam tempoh itu ada perayaan Deepavali, bulan puasa dan Hari Raya Aidilfitri serta sambutan Krismas. Belum dikira persiapan menjelang sesi persekolahan awal tahun yang tentu sahaja melibatkan para pengundi beliau di Pandamaran.


Dalam hal ini, walaupun Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) sudah memanggil dan menegur Ronnie atas kelemahannya mengurus peruntukan kewangan, tidak bermakna ‘kelemahan’ itu boleh dilupakan begitu sahaja.




Tentu sahaja alasan Ronnie bahawa dia “tidak sedar wang peruntukan habis begitu cepat kerana mahu memastikan permohonan daripada persatuan dan badan-badan berkaitan agama dipenuhi” tidak boleh diterima sebagai satu penjelasan. Ia bukanlah jawapan yang bertanggungjawab!


Apatah lagi apabila ‘bantuan’ itu turut dihulurkan kepada pertubuhan haram yang tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan.


Justeru sebagai jawatankuasa yang diuar-uarkan menjunjung ketelusan dan akauntabiliti, Selcat sepatutnya tidak mudah berpuas hati sekadar memberi teguran.

Tambahan pula, apabila seorang wakil rakyat itu melanggar arahan supaya 30 peratus daripada peruntukan digunakan untuk melaksanakan projek kecil di kawasan masing-masing.


Dalam kes Ronnie, hampir kesemua peruntukan habis dibelanjakan, malangnya, tidak ada satu projek kecil pun di DUN Pandamaran. Ini fakta yang disahkan Selcat!

Walaupun peruntukan RM500,000 itu adalah kuasa mutlak ADUN bagaimana hendak dibelanjakan, ia sepatutnya dimanfaatkan untuk pengundi di kawasan masing-masing dan bukannya pihak lain.


Tidak mungkin penduduk Pandamaran cukup serba-serbi sehingga tidak langsung memerlukan bantuan Ronnie selaku wakil rakyat mereka. Sikap ‘menyusui kera di hutan, anak di rumah dibiar mati kelaparan’ hanya menyerlahkan kepincangan kerajaan pakatan pembangkang dalam mentadbir negeri Selangor.


Setakat ini, Ronnie hanya diberi amaran dan beliau kekal sebagai ADUN dan Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor.


Kita bimbang kegagalan ‘menghukum’ wakil rakyat yang tidak mampu mengurus peruntukan dengan baik, akan menjerumuskan kerajaan negeri dalam masalah kewangan yang lebih buruk lagi.


Mungkin bukan sahaja Ronnie, bahkan wakil rakyat pakatan pembangkang lain perlu menghadiri kursus bagi meningkatkan daya tadbir urus kewangan!

Sumber: mylasia.net

No comments:

Post a Comment